Popular Posts

Sunday, March 6, 2016

TERBANG KE LANGIT BIRU

“Clearance to take off.”
“Take off.”
Ini merupakan penerbangan ke-5 bagi Kapten Zikry sepanjang bulan Oktober. Kali ini beliau ditugaskan untuk melakukan penerbangan ke Indonesia bersama-sama pembantu juruterbang iaitu Kapten Amreez yang merupakan teman rapatnya ketika menjalani latihan sebagai juruterbang. Penerbangan yang mengambil masa 4 jam ini telah berlepas dari Lapangan Terbang Pulau Pinang (LTPP).
“Selepas ini kemana pula destinasi kamu, Zikry?” tanya Kapten Amreez setelah meletakkan kapal terbang dibawah sistem ‘Autopilot’.
“Saya akan ke Sweden setelah kembali dari penerbangan ini,” jawab Kapten Zikry. “Dalam bulan ini, saya banyak melakukan penerbangan ke Eropah,” sambungnya lagi.
“Penerbangan saya banyak ke Paris dan baru dua hari lepas saya kembali dari penerbangan ke Paris, naik bosan saya ke sana,” keluh Kapten Amreez.
“Ini penerbangan pertama kita bersama setelah balik dari England dua bulan yang lepas, lama juga kita tidak ditugaskan bersama,” kata Kapten  Zikry.
Sedangkan mereka berbual-bual, terdapat panggilan daripada pusat kawalan yang mengatakan bahawa terdapat kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Indonesia dan kapal tidak dibenarkan untuk membuat pendaratan. Memandangkan bahan api yang hanya mencukupi untuk ke destinasi sahaja dan bagi keselamatan penumpang mereka akhirnya membuat keputusan untuk berpatah balik ke LTPP.
“Saya akan memberi makluman kepada ketua pramugara di dalam kabin untuk dimaklumkan kepada penumpang,” kata Kapten Amreez seraya memaklumkan kepada kabin.
“Pengumuman kepada semua penumpang, berdasarkan berita yang baru diterima oleh Kapten, Lapangan Terbang Antarabangsa Indonesia ditutup ekoran berlakunya kebakaran. Oleh itu, penerbangan ini akan kembali ke LTPP,” beritahu Ketua Pramugara kepada semua penumpang.
“Apa? Tidak!”  kedengaran keluhan daripada penumpang.
Keadaan didalam kabin menjadi bising dengan tindak balas yang diberikan oleh para penumpang terhadap berita yang baru disampaikan. Pramugara dan pramugari bertugas berusaha untuk menenangkan mereka dan menjawab segala persoalanan yang diutarakan oleh para penumpang. Tiba-tiba terdapat seorang penumpang berdiri dan menjerit supaya diteruskan penerbangan ke Indonesia.
“Siapa yang membuat keputusan untuk kembali ke LTPP? Aku perlu berada di Indonesia petang ini juga,” Jeritnya lagi sambil membaling-baling buku yang disediakan didalam kapal terbang.
“Juruterbang yang membuat keputusan untuk kembali ke LTPP,” beritahu salah seorang pramugari yang bertugas dan “Kami telah menyediakan kapal terbang lain sebagai ganti apabila tiba di LTPP nanti,” sambungnya lagi bagi memujuk penumpang tersebut.
“Mana juruterbang? Biar aku berjumpa dengannya,” beritahu penumpang tersebut sambil bergerak menuju ke hadapan pesawat dimana bahagian cockpit terletak.
Belum sempat penumpang tersebut bergerak jauh, pramugara menghalang dan memegang penumpang tersebut seraya berkata “Juruterbang tidak boleh meninggalkan tempat duduk beliau kerana beliau perlu mengawal kapal terbang dan kamu tidak dibenarkan masuk ke dalam bahagian cockpit .”
Penumpang tersebut berasa semakin berang dan berkata “Aku akan letupkan kapal ini sekiranya berpatah balik ke LTPP,” sambil mengeluarkan sebuah kotak hitam dan sebilah pisau daripada beg galasnya yang diletakkan dibawah kerusi penumpang dihadapannya.
Keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan para penumpang yang lain menjadi cemas apabila melihat kotak yang disangka bom dan pisau yang dikeluarkan oleh penumpang tersebut. Ketua pramugara menghubungi cockpit bagi memaklumkan bahawa terdapat seorang penumpang telah mengamuk disebabkan tidak berpuas hati dengan keputusan yang diambil dan mengugut akan meletupkan kapal sekiranya penerbangan ke Indonesia dibatalkan. Beliau juga memberitahu bahawa penumpang tersebut bertindak kasar dengan menggunakan pisau.
Atas keselamatan para penumpang yang lain serta untuk mengelak dari perkara yang tidak diingini berlaku, Kapten Zikry membuat keputusan untuk membuat pendaratan kecemasan di kawasan lapang yang berdekatan.
Mayday, Mayday, terdapat ugutan dan ancaman yang berbahaya daripada penumpang didalam kabin, kapal akan membuat pendaratan kecemasan dikawasan lapang,” maklum Kapten Amreez kepada pusat kawalan.
Setelah mendapat isyarat untuk membuat pendaratan, Kapten Zikry terus mendaratkan kapal dengan bantuan Kapten Amreez. Disebabkan tekanan yang tinggi, pendaratan mereka tersasar dari landasan dan kapal terus meluncur laju menuju ke arah hutan. Kapten Zikry dan Kapten Amreez bertungkus lumus bagi menghentikan kapal bagi mengelak berlakunya hempasan yang boleh membahayakan keselamatan penumpang.
Akhirnya, beliau berjaya mendaratkan kapal namun terdapat kebakaran kecil  yang melibatkan bahagian ekor pesawat disebabkan oleh pelanggaran yang berlaku diantara ekor pesawat dan pokok yang berada berdekatan tempat pesawat mendarat. Kebakaran tersebut boleh menyebabkan keseluruhan pesawat terbakar jika ianya merebak kepada wayar penyambung diantara kabin dengan ekor. Keadaan didalam kabin menjadi semakin tidak terkawal dengan jeritan dan berlakunya tolak menolak diantara para penumpang dek kerana ingin menyelamatkan diri masing-masing.
Dengan kecekapan krew yang bertugas kesemua penumpang berjaya ditenangkan serta selamat dikeluarkan daripada kapal terbang manakala  penjenayah telah diserahkan kepada pihak berkuasa. Polis membuat siasatan terhadap kotak hitam yang dibawa dan mendapati ianya hanya sebuah kotak hitam yang berisi mainan dan pisau tersebut hanyalah pisau mainan  yang diambil dari kotak tersebut namun penumpang terbabit tetap ditahan atas tuduhan memberi ancaman yang boleh membahayakan keselamatan orang awam.

Walaupun peristiwa tersebut sudah berlalu hampir 5 tahun namun ianya masih lagi menjadi ingatan buat Kapten Zikry dan beliau bersyukur kerana kesemua penumpang yang menaiki penerbangannya pada hari kejadian selamat. Peristiwa itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus terbang ke langit biru.